Pages

Subscribe:

Sunday, April 19, 2015

Silap strategi bawa padah

Badminton - Utusan Online

VIVIAN HOO (kiri) dan Woon Khe Wei membalas pukulan pemain China,

KUALA LUMPUR – Kesilapan strategi pada set kedua membantutkan hasrat beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk merangkul kejuaraan pertama tahun ini apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan tuan rumah, Tang Jinhua-Zhong Qianxin pada kejohanan badminton China Masters di Changzhou, semalam.

Malah, cabaran negara pada kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$250,000 (RM908,000) itu juga berakhir selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tersingkir awal kepada satu lagi gandingan China, Liu Cheng-Bao Yixin.

Vivian-Khe Wei yang turun de­ngan status pilihan pertama memberi tentangan sengit di set pembukaan apabila tewas 21-23, namun mereka mengalah mudah 9-21 di set kedua, sekali gus menguburkan sebarang harapan untuk bangkit.

Juara Sukan Komanwel dan Sukan SEA itu masih kempunan untuk mencari gelaran pertama pada 2015 biarpun sudah tiga kali melangkah ke separuh akhir Grand Prix Emas, termasuk muncul naib juara Terbuka India, Februari lalu.

"Selepas memberi tentangan sengit dalam set pertama, kami ya­kin dapat melakukan sesuatu yang lebih baik di set kedua, malangnya kami terlalu mahu menamatkan permainan dengan cepat dan bermain dengan laju.

"Ia memakan diri dan satu kesilapan.

"Apa pun, saya tetap gembira kerana berjaya melayakkan diri ke separuh akhir, sekurang-kurangnya kami menunjukkan satu permainan yang konsisten," kata Vivian, yang mahu mengalihkan tumpuan kepada Kejohanan Asia di Wuhan, ming­gu depan.

Biarpun Jinhua-Qianxin sekadar menghuni ranking 119 dunia dan baru digandingan, namun kehebatan pasangan itu mula terserlah selepas berjaya melayakkan diri ke separuh akhir All England, bulan lalu.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying yang kembali bergandingan, hujung tahun lalu terpaksa akur dengan kekalahan 17-21, 21-17, 17-21 selepas memberi tentangan hebat dalam ketiga-tiga set.

0 comments :

Post a Comment