Pages

Subscribe:

Sunday, April 19, 2015

'Jutawan' Hamilton sambar petak depan

Lumba Kereta - Utusan Online

LEWIS HAMILTON

LONDON – Kejayaan muncul juara Formula Satu (F1) dunia bukan saja memberi kemasyhuran kepada pemandu Britain, Lewis Hamilton, malah membolehkannya menikmati pendapatan yang amat lumayan.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu, yang genap 30 tahun pada 7 Januari lalu dianggarkan memiliki pendapatan bersih AS$250 juta (RM905 juta).

Hamilton sudahpun bergelar ahli sukan terkaya Britain ketika usianya belum mencecah 30 tahun. Pendapatannya mula meningkat selepas muncul juara dunia hanya pada musim kedua dalam perlumbaan F1 pada 2008 iaitu ketika berusia 23 tahun.

Berjaya merangkul kejuaraan dunia, memiliki rupa paras yang baik, mempunyai teman wanita popular (bekas penyanyi Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger) serta menandatangani kontrak bernilai 75 juta pound (RM406 juta) selama lima tahun bersama McLaren Mercedes telah meletakkan namanya sering menjadi topik berita muka depan dan belakang akhbar.

Selepas muncul juara dunia tahun lalu, pendapatan Hamilton semakin meningkat apabila dikatakan mengikat kontrak baharu bersama Mercedes yang mencecah 100 juta pound (RM543 juta).

Pendapatan pelumba itu hampir mengatasi bekas bintang bola sepak Britain, David Beckham dan isteri­nya, Victoria yang mengumpul pendapatan bersama 210 juta pound (RM1.14 bilion).

Bagaimanapun pakar penajaan dan penjenamaan, Nigel Currie dari brandRapport meramalkan, Ha­milton mampu mengatasi Beckham dalam masa terdekat selepas meneruskan aksi baik musim ini.

Setakat ini, dia sudah menjua­rai dua daripada tiga perlumbaan musim ini untuk mendahului kedudukan pemandu dunia.

Semalam, Hamilton me­nyambar petak pertama pada Grand Prix Bahrain selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan di Sakhir.

Hamilton menyambar petak pertama keempat berturut-turut selepas mencatat 1 minit, 32.571 saat, mengetepikan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel (1:32.982s) di tempat kedua.

Rakan senegara Hamilton, Nico Rosberg dengan catatan 1:33.129s mencatat masa ketiga terpantas, manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keempat dengan masa 1:33.227s.

Pasukan Williams turut memberi cabaran sengit menerusi pemandu Finland, Valtteri Bottas yang mengekori di tangga kelima dengan catatan 1:33.381

Hamilton merupakan penyandang juara Grand Prix Bahrain, malah diletak sebagai pilihan untuk mempertahankan gelaran hari ini.

"Saya yakin, dia boleh bergelar atlet terkaya Britain pada bila-bila masa.

"Dia mempamer prestasi yang baik dalam perlumbaan musim ini dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan memperlahankan rentak," kata Currie.

Berdasarkan informasi yang di­salurkan oleh Formula Money pada 2010, dianggarkan Hamilton memiliki pendapatan bernilai 380 juta pound (RM2.05 bilion).

Sports Illustrated pula melapor­kan perolehan tahunan yang dimiliknya ialah sebanyak 16.4 juta pound (RM88 juta).

Hamilton kini menetap di Zurich setelah berpindah ke Switzerland pada 2009 atas alasan bagi mendapatkan privasi.

Namun ramai yang percaya, keputusan itu dibuat disebabkan faktor cukai yang memberi manfaat kepadanya. 

0 comments :

Post a Comment