Pages

Subscribe:

Sunday, April 19, 2015

Silap strategi bawa padah

Badminton - Utusan Online

VIVIAN HOO (kiri) dan Woon Khe Wei membalas pukulan pemain China,

KUALA LUMPUR – Kesilapan strategi pada set kedua membantutkan hasrat beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk merangkul kejuaraan pertama tahun ini apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan tuan rumah, Tang Jinhua-Zhong Qianxin pada kejohanan badminton China Masters di Changzhou, semalam.

Malah, cabaran negara pada kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$250,000 (RM908,000) itu juga berakhir selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tersingkir awal kepada satu lagi gandingan China, Liu Cheng-Bao Yixin.

Vivian-Khe Wei yang turun de­ngan status pilihan pertama memberi tentangan sengit di set pembukaan apabila tewas 21-23, namun mereka mengalah mudah 9-21 di set kedua, sekali gus menguburkan sebarang harapan untuk bangkit.

Juara Sukan Komanwel dan Sukan SEA itu masih kempunan untuk mencari gelaran pertama pada 2015 biarpun sudah tiga kali melangkah ke separuh akhir Grand Prix Emas, termasuk muncul naib juara Terbuka India, Februari lalu.

"Selepas memberi tentangan sengit dalam set pertama, kami ya­kin dapat melakukan sesuatu yang lebih baik di set kedua, malangnya kami terlalu mahu menamatkan permainan dengan cepat dan bermain dengan laju.

"Ia memakan diri dan satu kesilapan.

"Apa pun, saya tetap gembira kerana berjaya melayakkan diri ke separuh akhir, sekurang-kurangnya kami menunjukkan satu permainan yang konsisten," kata Vivian, yang mahu mengalihkan tumpuan kepada Kejohanan Asia di Wuhan, ming­gu depan.

Biarpun Jinhua-Qianxin sekadar menghuni ranking 119 dunia dan baru digandingan, namun kehebatan pasangan itu mula terserlah selepas berjaya melayakkan diri ke separuh akhir All England, bulan lalu.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying yang kembali bergandingan, hujung tahun lalu terpaksa akur dengan kekalahan 17-21, 21-17, 17-21 selepas memberi tentangan hebat dalam ketiga-tiga set.

Sabah hilang sentuhan Diouf

Bola Sepak - Utusan Online

EL HADJI DIOUF

KOTA KINABALU – Sabah menerima tamparan hebat menjelang aksi Liga Perdana menentang Kedah minggu depan selepas hilang sentuhan bintang penyerang yang juga ketua pasukan, utama, El Hadji Diouf.

Bekas pemain Liverpool itu digantung perlawanan selepas mengutip kad kuning ketiga ketika membantu Sabah menewaskan Pulau Pinang 1-0, kelmarin.

Selain Diouf, Sabah juga bakal menerima kunjungan Kedah di Stadium Likas, Jumaat depan tanpa seorang lagi tonggak, Shafuan Adli Shaari yang turut digantung perlawanan.

Kedua-dua pemain ini antara yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Mohd. Zohri Tajudin, dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Badak meraih tiga mata penuh.

Kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang membolehkan Sabah me­leburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Kumbang, selain melonjak ke tangga kedua liga.

Bagi Penolong Pengurus Sabah, Abdul Rahman Mohd. Zakaria, kemenangan tersebut dilihat satu kebangkitan pasukan dalam memburu kedudukan terbaik Liga Perdana.

Katanya, semua pemain menunjukkan prestasi membanggakan, malah mempamerkan permainan bertenaga untuk mendominasi perlawanan tersebut.

"Saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain dalam perlawanan ini.

"Kami telah menunjukkan persembahan yang diinginkan dan meraih tiga mata yang sangat berharga, sekali gus membolehkan kami berada di tangga kedua liga," katanya.

Ditanya mengenai tindakan pengadil melayangkan kad kuning kepada Diouf, Abdul Rahman berkata, dia menghormati keputusan tersebut.

Begitupun dia percaya, Diouf tidak sepatutnya menerima kad kuning kerana melakukan sepakan percuma setelah pengadil mengangkat tangan.

'Jutawan' Hamilton sambar petak depan

Lumba Kereta - Utusan Online

LEWIS HAMILTON

LONDON – Kejayaan muncul juara Formula Satu (F1) dunia bukan saja memberi kemasyhuran kepada pemandu Britain, Lewis Hamilton, malah membolehkannya menikmati pendapatan yang amat lumayan.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu, yang genap 30 tahun pada 7 Januari lalu dianggarkan memiliki pendapatan bersih AS$250 juta (RM905 juta).

Hamilton sudahpun bergelar ahli sukan terkaya Britain ketika usianya belum mencecah 30 tahun. Pendapatannya mula meningkat selepas muncul juara dunia hanya pada musim kedua dalam perlumbaan F1 pada 2008 iaitu ketika berusia 23 tahun.

Berjaya merangkul kejuaraan dunia, memiliki rupa paras yang baik, mempunyai teman wanita popular (bekas penyanyi Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger) serta menandatangani kontrak bernilai 75 juta pound (RM406 juta) selama lima tahun bersama McLaren Mercedes telah meletakkan namanya sering menjadi topik berita muka depan dan belakang akhbar.

Selepas muncul juara dunia tahun lalu, pendapatan Hamilton semakin meningkat apabila dikatakan mengikat kontrak baharu bersama Mercedes yang mencecah 100 juta pound (RM543 juta).

Pendapatan pelumba itu hampir mengatasi bekas bintang bola sepak Britain, David Beckham dan isteri­nya, Victoria yang mengumpul pendapatan bersama 210 juta pound (RM1.14 bilion).

Bagaimanapun pakar penajaan dan penjenamaan, Nigel Currie dari brandRapport meramalkan, Ha­milton mampu mengatasi Beckham dalam masa terdekat selepas meneruskan aksi baik musim ini.

Setakat ini, dia sudah menjua­rai dua daripada tiga perlumbaan musim ini untuk mendahului kedudukan pemandu dunia.

Semalam, Hamilton me­nyambar petak pertama pada Grand Prix Bahrain selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan di Sakhir.

Hamilton menyambar petak pertama keempat berturut-turut selepas mencatat 1 minit, 32.571 saat, mengetepikan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel (1:32.982s) di tempat kedua.

Rakan senegara Hamilton, Nico Rosberg dengan catatan 1:33.129s mencatat masa ketiga terpantas, manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keempat dengan masa 1:33.227s.

Pasukan Williams turut memberi cabaran sengit menerusi pemandu Finland, Valtteri Bottas yang mengekori di tangga kelima dengan catatan 1:33.381

Hamilton merupakan penyandang juara Grand Prix Bahrain, malah diletak sebagai pilihan untuk mempertahankan gelaran hari ini.

"Saya yakin, dia boleh bergelar atlet terkaya Britain pada bila-bila masa.

"Dia mempamer prestasi yang baik dalam perlumbaan musim ini dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan memperlahankan rentak," kata Currie.

Berdasarkan informasi yang di­salurkan oleh Formula Money pada 2010, dianggarkan Hamilton memiliki pendapatan bernilai 380 juta pound (RM2.05 bilion).

Sports Illustrated pula melapor­kan perolehan tahunan yang dimiliknya ialah sebanyak 16.4 juta pound (RM88 juta).

Hamilton kini menetap di Zurich setelah berpindah ke Switzerland pada 2009 atas alasan bagi mendapatkan privasi.

Namun ramai yang percaya, keputusan itu dibuat disebabkan faktor cukai yang memberi manfaat kepadanya. 

Thursday, April 16, 2015

JDT rampas teraju Kumpulan F

Bola Sepak - Utusan Online

Penyerang JDT, Luciano Figueroa (kanan) menjaringkan gol pertama

JOHOR BAHRU –Juara Liga Super 2014, Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir untuk melangkah ke saingan 16 pasukan terakhir Piala AFC apabila berjaya menundukkan pendahulu Kumpulan F, Kitchee SC 2-0 dalam perlawanan timbal balik kedua semalam.

JDT kini merampas kedudukan pendahulu Kumpulan F dan akan bertemu East Bengal dari India pada 28 April nanti.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT membalas kekalahan 0-2 mereka kepada Kitchee ketika berkunjung ke Stadium Mong Kok di Kowloon, Hong Kong bulan lalu.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan pantas menyu­sun gerakan namun pasukan tuan rumah ter­nyata lebih menguasai separuh masa pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini.

JDT bermula pantas dengan mengasak kubu lawan seawal minit pertama perlawanan tetapi gerakan tersebut dapat dipatahkan pertahanan Kitchee.

Pemain import JDT yang kembali cergas selepas berehat daripada kecederaan, Luciano Figueroa tidak menunggu lama untuk meletakkan namanya selaku penjaring apabila berjaya membolosi gawang lawan setelah mendapat lorongan cantik daripada Safiq Rahim pada minit ke-17.

Rentak serangan pantas yang dipamerkan JDT gagal dikawal pasukan pelawat selepas pasukan tuan rumah terus menerus mengasak kubu lawan menerusi beberapa siri serangan tanpa dapat dibalas Kitchee.

Safiq mempamerkan permainan yang menarik dengan beberapa kali menguji pertahanan lawan sebelum berjaya menjaringkan gol ke­dua JDT hasil sepakan penalti pada minit ke-44.

Separuh masa kedua tidak me­nunjukkan terlalu banyak perbezaan apabila JDT dilihat mengekalkan penguasaan permainan dengan terus menyusun gerakan demi gerakan dalam usaha menambah jaringan.

Pasukan bimbingan Bojan Hodak hampir berjaya mendapatkan gol ketiga mereka menerusi larian menarik S. Chanturu pada minit ke-68 namun bola lorongannya di hadapan pintu gol berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Kitchee mula mempamerkan persembahan lebih garang dengan membuat beberapa gerakan berbahaya di hadapan gol pasukan tuan rumah namun masih gagal mendapatkan gol yang dicari.

Tok Gajah terkulai di Hong Kong

Bola Sepak - Utusan Online

PENYERANG Pahang, Matias Conti (kanan) cuba melepasi asakan dua

KUALA LUMPUR – Hasrat Pahang untuk menebus kekecewaan lalu tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada South China dalam aksi Kumpulan G saingan Piala AFC yang berlangsung di Stadium Mongkok, Hong Kong, semalam.

Ia adalah kekalahan kedua Tok Gajah kepada wakil Hong Kong itu selepas tewas 0-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 18 Mac lalu.

Keputusan itu me­nyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kini meng­huni kedudukan kedua dengan berkongsi empat mata bersama Global FC dari Filipina.

Kedua-dua pasukan dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

South China, yang dibimbing Roberto Carlos Mario Gomez menampilkan corak permainan pantas sekali gus menyukarkan pertahanan Pahang untuk mengekang asakan bertali arus yang dihasilkan menerusi pemain tengah, Chan Siu Kwan.

South China hanya memerlukan 10 minit untuk berada di hadapan menerusi Siu Kwan.

Gol kedua tuan rumah hadir menerusi serangan balas pantas dengan Chan Siu Ki melakukan hantaran untuk disudahkan pemain tengah, Lo Kong Wai pada minit ke-53.

Tiga minit kemudian, South China semakin selesa di hadapan apabila hantaran Kong Wai berjaya disudahkan pemain pertahanan, Jackson Sealy menerusi rembatan kencang dari sudut kanan untuk menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Pasukan dari Hong Kong itu kemudian terus menggandakan asakan menerusi beberapa gerakan-gerakan untuk mengatasi pertahanan Tok Gajah namun gagal menambah jumlah jaringan.

Pahang akhirnya meraih gol saguhati pada minit ke-62 apabila Azidan Sarudin melakukan hantaran kepada Matias Conti sebelum pemain Argentina itu melakukan satu lagi hantaran untuk disudahkan Dickson Nwakaeme.

Skuad Tok Gajah bagaimanapun masih berpeluang untuk pusingan kalah mati sekiranya berjaya mencipta kemenangan ke atas pasukan Yadanarbon dari Myanmar dan Global FC untuk terus berada di kedudukan kedua Kumpulan G.

Hendrawan jurulatih baharu Chong Wei?

Badminton - Utusan Online
KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka melakukan beberapa perubahan dalam barisan kejurulatihan yang mungkin menyaksikan jurulatih

Lee Chong Wei (kiri) dan Hendrawan tertawa ketika sesi latihan pemain-pemain BAM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam. UTUSAN/IRWAN MAJID

dari Indonesia, Hendrawan dipertanggungjawab untuk melatih jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, menggantikan Tey Seu Bock.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen hanya dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai penstrukturan baharu barisan kejurulatihan BAM minggu depan, namun kemungkinan Hendrawan akan membimbing Chong Wei dilihat berikutan juara dunia 2001 sudah mula melatih Chong Wei semasa sesi latihan pagi di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Hendrawan, 43, yang mula menyertai BAM sebagai jurulatih pemain pasukan pelapis kebangsaan sejak 2009 bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu dan meminta perkara itu dirujuk kepada Frost.

Pada tahun lalu, terdapat khabar angin menyatakan Hendrawan akan melatih Chong Wei selepas Seu Bock dikatakan gagal membantu jaguh dunia itu untuk mara ke final Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan namun perkara itu dinafikan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Ketika itu desas-desus menyatakan Hendrawan bakal 'dinaikkan pangkat' untuk membantu ketua jurulatih perseorangan negara pada waktu itu, Rashid Sidek, untuk mempersiapkan Chong Wei menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Chong Wei berkata, Frost akan melakukan sedikit perubahan ke atas barisan kejurulatihan namun dia percaya kesemua pemain perseorangan lelaki termasuk dirinya mampu bekerjasama dengan mana-mana jurulatih.

"Siapa pun jurulatih saya tidak kisah. Saya percaya Seu Bock dan Hendrawan akan bekerjasama untuk membantu saya," katanya.

Sementara itu, Chong Wei meminta semua pihak untuk memberikan masa kepada Frost me­lakukan perubahan bagi membantu menaik­kan semula sukan badminton negara.

Katanya, legenda badminton Denmark itu memerlukan masa untuk merangka program-program latihan baharu.

Jodoh Malaysia dengan Thailand

Bola Sepak - Utusan Online

Ong KIM SWEE perlu melakukan perancangan terbaik bagi memastikan

KUALA LUMPUR - Harapan pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, untuk ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Singapura tidak kesampaian apabila Malaysia dijodohkan bersama juara bertahan, Thailand dalam Kumpulan B.

Satu lagi pasukan pilihan, Vietnam turut diundi bersama pasukan negara, selain Laos, Brunei dan Timor Leste.

Tambah mengusutkan lagi pemikiran Kim Swee yang berhajat mengulangi pencapaian pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011, mereka perlu menghabiskan lima perlawanan di peringkat kumpulan dalam tempoh 14 hari.

Malah, sekiranya berjaya mara ke separuh akhir dan seterusnya ke final, mereka hanya mendapat rehat selang satu hari.

Situasi itu memaksa Kim Swee melakukan perancangan terbaik untuk memastikan pemainnya berada di tahap kecergasan ter­tinggi dan mampu mengharungi jadual yang padat.

"Kita tahu pasukan dalam kumpulan A akan bermain kurang satu perlawanan dan agak seimbang daripada segi kekuatan sementara dalam Kumpulan B, ia terdiri daripada pasukan-pasukan terkuat Asia Tenggara termasuk kita.

"Selain itu, kita juga tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan seperti Laos, Brunei dan Timor Leste kerana mereka mungkin mampu mencipta kejutan dalam kumpulan tersebut," katanya selepas perlawanan persahabatan menentang MK Land di Wisma FAM, semalam.

Kim Swee bagaimanapun tetap optimis, pasukannya berpeluang mara lebih jauh pada temasya kali ini biarpun diundi bersama Thailand dan Vietnam, sekali gus berupaya merea­lisasikan sasaran pingat emas.

Skuad bawah 23 tahun negara perlu menamatkan aksi peringkat kumpulan dalam kelompok dua terbaik bagi me­langkah ke saingan separuh akhir dan sekiranya mampu mengatasi sama ada Thailand atau Vietnam, peluang buat anak-anak buah Kim Swee tampak terbentang luas.

Thailand dijangka memberikan tumpuan utama untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang dijadual berlangsung serentak dengan aksi Sukan SEA 2015.

Mereka mungkin tidak menurunkan barisan pemain terbaik Bawah 23 tahun yang membantu mereka menjulang kejua­raan Piala AFF, Disember lalu

Sementara itu, Vietnam mempunyai prestasi yang sukar diramal, namun kemenangan 2-1 ke atas Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan I Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam bulan lepas memerlukan lebih banyak kerja keras dilakukan Kim Swee.

Tiga lagi perlawanan menentang Laos, Brunei dan Timor Leste harus dimanfaatkan sebaiknya oleh skuad Bawah 23 tahun negara bagi meraih tiga mata penuh untuk memastikan slot ke saingan separuh akhir berada di landasan terbaik.

"Pada bulan Mei nanti, kita akan membuat persiapan terakhir dan ia sangat penting bagi memper­tingkatkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan pasukan sebelum bertolak ke Singapura.

"Kita juga sudah merancang tiga perlawanan persahabatan bagi meningkatkan lagi persefahaman dan keserasian antara pemain bagi mempamerkan aksi terbaik," kata Kim Swee lagi.